Friday, September 30, 2011

Solat hormat waktu

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

KEPENTINGAN solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring. (riwayat al-Bukhari).

Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.

Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.

Menurut jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya. Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan hal ini berdasarkan mazhab yang empat:


Mazhab Hanafi

Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.

Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.

Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.

Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.

Mazhab Maliki

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.

Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.

Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.

Mazhab Syafie

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.

Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.

Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.

Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.

Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.


Mazhab Hanbali

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.

Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.

Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.

Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama'ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.

Fitnah bapa munafik

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAIMANA sebahagian besar serangan sebelum ini, Rasulullah SAW akan memikul tanggungjawab sebagai ketua perang, begitu juga serangan yang akan dilakukan terhadap penduduk Kota Daumatul Jandal.

Sebelum baginda berangkat mengetuai serangan tersebut, baginda melantik Suba bin Arfathah Al Ghifari supaya memimpin dan mengendalikan urusan negara Madinah sepeninggalan baginda.

Dalam perjalanan ke Daumatul Jandal itu, baginda masih menggunakan taktik biasa iaitu berjalan waktu malam dan pada siangnya mereka berehat dan bersembunyi di lereng-lereng bukit dan gunung.

Tujuannya supaya pihak musuh tidak menyedari kedatangan tentera Islam itu. Akhirnya berita kehadiran tentera Islam itu sampai juga ke pengetahuan penduduk Kota tersebut.

Mereka sangat terkejut dan tidak menyangka niat buruk mereka akhirnya berjaya dicium oleh Rasulullah SAW. Lebih teruk lagi tentera Islam kini telah berada hampir dan menunggu masa sahaja untuk menyerang.

Tanpa mempunyai banyak pilihan, penduduk kota tersebut bertempiaran melarikan diri dengan meninggalkan harta benda termasuk haiwan ternakan.

Mereka berjaya melarikan diri walaupun tentera Islam mencari ke merata tempat, tempat-tempat persembunyian mereka namun seorang pun tidak ditemui.

Ini memberi peluang kepada baginda merampas keseluruhan harta benda yang termasuk dalam kategori fai' itu sebelum tentera Islam pulang semula ke Madinah setelah berada beberapa hari di Kota Daumatul Jandal.

Dikatakan setiap anggota tentera Islam mendapat seekor unta sebagai habuan daripada rampasan fai' itu.

Walaupun tidak berlaku sebarang pertempuran dengan pihak musuh namun peristiwa ini tetap disebut sebagai perang.

Melalui tindakan-tindakan yang pantas dan tegas seperti ini, baginda berjaya meluaskan pengaruh dan memelihara Madinah dari sebarang cubaan untuk menyerang oleh pihak-pihak musuh.

Begitupun musuh tetap musuh! Mereka tetap menyimpan niat buruk dan berusaha menghancurkan Islam tanpa mengira sama ada mereka mampu atau tidak untuk berbuat demikian.

Maka ini tidak menghairankan jika dikatakan secara keseluruhannya, iaitu sepanjang usia baginda, Rasulullah terlibat dalam 27 peperangan.

Ini apabila lima bulan selepas berlaku Perang Daumatul Jandal itu, terjadi pula Perang Muraisi, iaitu apabila Puak Bani Musthaliq yang diketuai oleh Harits bin Dhirar hendak memerangi umat Islam di Madinah.

Namun kesudahannya sebagaimana yang sebelum-sebelum ini, baginda dan pasukannya bukan sahaja berjaya mengalahkan puak tersebut malah berjaya menawan 200 keluarga (700 lelaki dan perempuan termasuk puteri Harits yang bernama Barrah) merampas 2,000 unta dan 5,000 ekor kambing.

Namun kesan Perang Musthaliq ini menimbulkan perbuatan memfitnah! Tentu sahaja perbuatan fitnah iaitu merangkumi mengada-adakan cerita, memburuk-burukkan orang lain, memecah belahkan perpaduan, mengumpat, menghina dan sebagainya itu dilakukan oleh 'bapa munafik', Abdullah bin Ubay yang semakin hari semakin melampau dan menjadi duri dalam daging!

Abdullah menabur fitnah terhadap perpaduan dan persaudaraan yang sekian lama terjalin antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Beliau juga dalam kisah selanjutnya melakukan fitnah yang paling jahat terhadap Rasulullah dan keluarga baginda, apabila isteri baginda, Siti Aisyah dituduh mempunyai hubungan haram dengan lelaki lain!

Tuesday, September 27, 2011

Semangat rakyat Palestin jadi azimat


Norazian Anidin (kiri) bersama-sama dua remaja Palestin ketika mereka bersiar-siar di pesisir pantai di Gaza.
__________________________________________________________

SELAMA tempoh di Gaza, saya asyik menangis sahaja, sampai bengkak-bengkak mata dibuatnya," kata Noorazian Anidin, salah seorang anggota sukarelawan yang menjayakan Misi A2G2.

Beliau adalah seorang daripada tiga wanita yang menganggotai misi tersebut.

Dua lagi rakannya ialah Noorhasyimah Ismail dan Siti Ramlah Ibrahim. Semua mereka adalah sukarelawan sepenuh masa dengan Aqsa Syarif Malaysia.

Beliau sebelum ini hanya sampai di sempadan Israel iaitu di selatan Beirut iaitu ketika mengikuti lawatan Viva Palestina International pada Julai 2010.

"Dahulu kita hanya dapat melihat tanah Palestin dari jauh. Saya berazam untuk ke sana walaupun bunyinya seperti mustahil dan hanya dapat melawat kem-kem pelarian Palestin termasuk Sabra Shatilla di selatan Lebanon itu.

"Apabila berpeluang ke Gaza, seolah-olah doa saya dimakbulkan Allah, sudah cukup membuatkan saya menangis gembira," katanya.

Walaupun menangis gembira tetapi beliau berjanji untuk tabah dan kuat sebaik sahaja memasuki Gaza, tidak mahu menangis di hadapan rakyat Palestin bagi menunjukkan kekuatan.

"Tetapi di pintu sempadan sahaja saya mula menahan sebak. Sebaik sahaja masuk ke Gaza, terus bercucuran air mata" katanya.

Bukan sahaja sedih melihat kemusnahan akibat perang, tetapi yang jelas Norazian merasakan dirinya kerdil berbanding rakyat Palestin yang begitu kuat dan tabah menghadapi kekejaman Israel.

"Mereka jauh sekali meminta-minta. Istilah pengemis yang seperti ditemui di sesetengah negara Islam yang kaya tidak ada di Gaza.

"Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka mengerumuni kita bukan untuk meminta-minta. Tetapi gembira dan mahu mengambil gambar bersama-sama walaupun mereka sebenarnya tidak berpeluang menyimpan sebarang gambar sebagai kenangan," katanya.

Namun Norazian, dia makin sebak melihat mereka yang miskin tidak mahu menerima bantuan selagi belum dipastikan tidak seorang pun golongan fakir ketinggalan menerima bantuan.

"Sumbangan yang diberikan melalui pek Ramadan antaranya mengandungi roti dari kilang yang kita bina hasil usahasama dan seekor ikan talapia dari kolam ternakan.

"Tetapi dengan seekor ikan itu mereka makan seisi keluarga," katanya.

Antara kenangan manis adalah dolat berjemaah yang diimamkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyah yang bersuara merdu dan mendayu.

Namun di akhir misi, Norazian terus terkedu dan air mata semakin mengalir laju apabila mendengar satu amanat seorang pejuang Palestin yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya.

Kata pejuang itu: "Aku nak cakap sesuatu, aku lihat dua, tiga dari kalian yang sedang menangis!

"Kami sebenarnya tidak mahu air mata kamu tumpah di sini. Tetapi kita perlu sedar Zionis Israel adalah musuh kita bersama dan kami di sini akan terus berjuang untuk masjid kamu.

"Namun air mata kamu sebenarnya adalah pembakar semangat untuk kami terus berjuang dan sampaikan salam kami kepada saudara mara kami di Malaysia dan yakinlah terhadap perjuangan ini untuk kita sama-sama mempertahankan hak dan masjid yang sangat kita cintai."