Monday, April 11, 2011

Wuchereria bancrofti

Cacing filaria daripada spesies Wuchereria bancrofti ini ditemui oleh Cobbold pada tahun 1887 dan merupakan cacing filaria utama yang menyebabkan penyakit Limfatik Filariasis di Malaysia. Jangkitan cacing Filaria Wuchereria bancrofti boleh menyebabkan penyakit Filariasis Bancrofti dan Elefantiasis.

Parasit ini terdapat di kawasan Asia iaitu di China, India, Jepun, Korea, Asia Tenggara, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Kepulauan Pasifik, Fiji, Samoa, New Guinea, Polynesia, Tahiti, dan Amerika Selatan. Walaupun pada masa sekarang, jangkitan cacing filaria ini semakin berkurangan, akan tetapi ia masih berpotensi untuk menyebabkan penyakit Filariasis di Malaysia.

Seperti cacing filaria yang lain, cacing dewasa W. bancrofti hidup di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Mikrofilaria yang bersarung terdapat di dalam darah. Dari segi morfologi, cacing dewasa betina berukuran 50 - 65 x 0.16 mm dengan ekor yang sedikit melengkung dan hujungnya tajam. Bagi cacing dewasa jantan pula, ia berukuran 23 - 40 x 0.1 mm. Ekornya melengkung dengan tajam dan mempunyai dua spikul.

Bagi peringkat mikrofilaria, cacing filari berukuran 275 - 300 x 8 - 10 mikrometer, bersarung dan memiliki lingkaran badan licin yang tidak berbelit-belit. Nukleus pada badannya kasar dan tidak bertindih, manakala bahagian posterior tidak mengandungi nukleus.

Kebanyakan kes jangkitan menyebabkan jangkitan filariasis yang teruk. Akan tetapi, filariasis boleh dikawal dengan merawat semua pembawa mikrofilaria di kawasan endemik dan mengawal nyamuk vektor.

Walaupun penyakit Elefantiasis sering dikaitkan dengan cacing daripada spesies Brugia malayi, tetapi cacing W. bancrofti masih boleh menyebabkan penyakit ini. Jangkitan limfatik filariasis akan menyebabkan inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya, limfadema, dan limfuria.

No comments:

Post a Comment