Sunday, April 10, 2011

Teknik Terkini Dalam Pendiagnosan Malaria

Pendahuluan

Malaria adalah penyakit yang berpunca daripada parasit darah. Penyakit ini boleh terdapat di banyak negara di serata pelusuk dunia. Setiap tahun, penyakit ini menyebabkan 3 juta kematian dan hampir 5 bilion kes dicatatkan di seluruh dunia.

Ujian diagnosis Malaria menggunakan kaedah pemeriksaan melalui mikroskop yang digunakan sejak sekian lama agak sukar dilakukan dan memerlukan ketepatan. Hanya staf yang berpengalaman sahaja boleh mendiagnosis kehadiran parasit Malaria.

Pendiagnosan parasit Malaria menggunakan kaedah lama memerlukan penyediaan filem darah tebal dan filem darah nipis. Pegawai perubatan juga perlu mahir dalam teknik dan kaedah penyediaan filem darah ini. Selain itu, proses mendiagnos kes malaria amat memerlukan staf makmal parasitologi yang berpengalaman. Walau dalam keadaan yang terbaik sekalipun, pemeriksaan mikroskop pada slaid filem darah adalah kurang daripada 100 peratus sensitif

BinaxNOW Malaria Test

Kit komersial BinaxNOW Malaria Test adalah kit ujian yang ringkas dan cepat bagi pendiagnosan parasit malaria menggunakan sampel darah pesakit. Kit komersial ini boleh mengesan jangkitan parasit malaria daripada spesiea Plasmodium falciparum(Pf) dan membezakannya daripada jangkitan parasit malaria daripada spesies lain yang kurang berbahaya.

Ujian menggunakan Kit BinaxNOW Malaria Test adalah berdasarkan prinsip ' in vitro immunochromatographic assay' bagi kaedah pengesanan kualitatif antigen Plasmodium yang beredar di dalam saluran darah manusia. Sampel darah pesakit yang dipungut dalam bekas EDTA juga boleh digunakan untuk ujian ini.

Ujian ini mengesan antigen spesifik bagi parasit Plasmodium falciparum iaitu Histidine-rich protein II(HRPII) dan juga antigen pan-malaria, yang terdapat di dalam kesemua empat spesies malaria yang mampu menjangkiti manusia - P. falciparum, P. vivax, P. ovale, P. malariae.

Ujian ini direka untuk membantu juruteknologi makmal perubatan di dalam pendianosan jangkitan parasit malaria. Keputusan ujian yang negatif perlulah disahkan dengan pemeriksaan mikroskop pada slaid filem darah tebal dan nipis yang diperolehi daripada pesakit.

Prinsip Bagi Pendiagnosan Parasit Malaria

Kit komersial BinaxNOW Malaria Test menggunakan prinsip 'Immunochromatographic Membrane Assay' yang menggunakan antibodi-antibodi monoklonal untuk mengesan antigen Plasmodium falciparum dan antigen pan-malaria yang terdapat di dalam spesimen darah pesakit.

Antibodi ini dan antibodi tambahan yang bertindak sebagai kontrol, akan dilekatkan pada permukaan membran yang berbentuk tiga jaluran kertas, digabungkan dengan pad spesimen. Kit yang direkabentuk seperti ini memudahkan pengesanan kehadiran antigen bagi parasit malaria. Strip ujian yang telah dilekatkan dengan antibodi tadi kemudiannya diletakkan di dalam alat yang berbentuk empat segi.

Untuk menjalankan ujian, sampel darah akan diletakkan di atas pad spesimen. Antigen malaria yang terdapat di dalam sampel pesakit akan bergabung dengan antibodi malaria konjugat yang terdapat pada kit ujian BinaxNOW Malaria. Kemudian, Reagen A akan ditambah pada bahagian bawah strip ujian untuk membantu sampel spesimen bergerak ke bahagian atas strip ujian.

Jika terdapat antigen yang spesifik dengan antibodi monoklonal pada strip ujian, antigen tadi akan bergabung dengan antibodi untuk membentuk kompleks antigen-antibodi. Seterusnya, jalur pada strip ujian akan menunjukkan keputusan yang positif.

Keputusan ujian yang positif dibaca dalam masa 15 minit, akan merangkumi petunjuk pada jalur ujian dan juga jalur kontrol pada strip ujian. Keputusan ujian yang negatif juga dibaca dalam masa 15 minit, tetapi strip ujian hanya akan menghasilkan bacaan positif pada jalur kontrol. Keputusan ini menunjukkan bahawa antigen malaria tidak dikesan di dalam sampel pesakit.

Reagen dan Bahan Yang Digunakan:

-BinaxNOW Malaria Test Kit:
*Alat Ujian - mengandungi strip ujian yang telah dilekatkan dengan antibodi spesifik bagi malaria.
*Reagen A - Larutan buffer yang mengandungi detergen dan sodium azide.
*Tiub Kapilari - Tiub kapilari EDTA yang digunakan untuk memindahkan sampel darah kepada strip ujian.

-Bahan-bahan lain yang dipelukan:
* Lancet, alcohol swab, swab sterile, jam ataupun 'stopwatch'.

Langkah Kewaspadaan:

1.Jangan mencampurkan komponen daripada kit komersial yang lain bersama-sama kit ini.
2.Kit ujian ini hanyalah untuk pendiagnosan secara in vitro.
3.Biarkan alat ujian ditutup dalam pek aluminium sebelum digunakan.
4.Jangan gunakan kit yang telah tamat tempoh penggunaannya.
5.Sampel daripada pesakit dan reagen A hendaklah dimasukkan mengikut prosedur ujian.
6.Jika sampel darah vena digunakan, sebatikan sampel terlebih dahulu sebelum digunakan.
7.Jika sampel darah diambil daripada cucukan jari, tiub kapilari boleh digunakan untuk memindahkan sampel kepada strip ujian.
8.Sampel pesakit perlulah dikendalikan secara berhati-hati.
9.Peredaran udara yang berlebihan boleh melambatkan pergerakan sampel melalui strip ujian. Semasa ujian, alat ujian hendaklah dilindungi daripada peredaran udara yang berlebihan.

Prosedur ujian:

1. Jika menggunakan sampel daripada tiub kapilari, titiskan sedikit sampel darah daripada tiub ke atas pad spesimen pada bahagian kanan alat ujian. Jika sampel yang digunakan diperolehi dalam tiub EDTA, pipetkan sampel darah ke atas pad spesimen sebanyak 15 mikroliter darah menggunakan mikropipet.
2. Tambahkan reagen A sebanyak dua titisan ke atas pad spesimen. Reagen ini berfungsi sebagai larutan buffer untuk menggerakkan sampel darah ke bahagian atas strip ujian.
3. Biarkan sampel darah tadi bergerak ke atas strip ujian dan memenuhi bahagian atas strip tersebut.
4.Setelah kesemua prosedur ujian dijalankan, tutup strip ujian dan biarkan selama 15 minit.
5. Baca keputusan ujian setelah 15 minit strip ujian ditutup. Keputusan yang diambil sebelum atau selepas 15 minit mungkin memberikan keputusan yang tidak tepat.

Had Penggunaan:

Keputusan ujian yang negatif tidak menunjukkan bahawa pesakit benar-benar bebas daripada dijangkiti parasit malaria. Berkemungkinan paras parasitemia pada pesakit masih berada pada tahap yang rendah. Jadi, keputusan yang diperolehi daripada ujian menggunakan kit BinaxNOW Malaria Test ini perlu digandingkan dengan penemuan-penemuan klinikal yang lain. Sampel ataupun spesimen yang lain boleh diambil dan diuji seperti yang dijalankan ke atas pemeriksaan mikroskopik secara bersiri.

Kit BinaxNOW Malaria Test mengesan antigen daripada parasit malaria, termasuklah pada peringkat gametosit bagi spesies Plasmodium falciparum. Ketepatan ujian bergantung kepada jumlah anigen di dalam spesimen dan mungkin tidak memberikan keputusan yang sama dengan pemeriksaan secara mikroskopik pada spesimen yang sama.

Tahap prestasi Kit BinaxNOW Malaria Test ini masih belum diuji bagi rawatan penyakit malaria. Saki-baki antigen Plasmodium mungkin dikesan selama beberapa hari walaupun parasit malaria telah dimusnahkan dalam rawatan anti malaria.

Sampel pesakit yang positif kepada Faktor Rheumatoid(Rf) mungkin memberikan keputusan positif palsu apabila menggunakan kit BinaxNOW Malaria Test. Faktor Rheumatoid adalah autoantibodi, dan titer Rf yang positif sering dikaitkan dengan kegagalan acute autoimmun, seperti rheumatoid arthritis, jangkitan virus yang kronik, dan jangkitan parasit. Sebagai tambahan, titer Rf yang positif dimiliki oleh 1 hingga 4 peratus populasi penduduk dunia. Seperti ujian pengesanan antigen bagi malaria yang lain, Kit BinaxNOW Malaria juga berkemungkinan menghasilkan keputusan positif palsu pada sampel individu yang memiliki titer Rf yang positif.

Ujian menggunakan kit ini tidak sesuai untuk tujuan penyaringan bagi jangkitan parasit malaria dalam sesuatu populasi.

No comments:

Post a Comment