Friday, September 30, 2011

Solat hormat waktu

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

KEPENTINGAN solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring. (riwayat al-Bukhari).

Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.

Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.

Menurut jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya. Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan hal ini berdasarkan mazhab yang empat:


Mazhab Hanafi

Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.

Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.

Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.

Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.

Mazhab Maliki

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.

Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.

Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.

Mazhab Syafie

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.

Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.

Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.

Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.

Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.


Mazhab Hanbali

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.

Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.

Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.

Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama'ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.

Fitnah bapa munafik

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAIMANA sebahagian besar serangan sebelum ini, Rasulullah SAW akan memikul tanggungjawab sebagai ketua perang, begitu juga serangan yang akan dilakukan terhadap penduduk Kota Daumatul Jandal.

Sebelum baginda berangkat mengetuai serangan tersebut, baginda melantik Suba bin Arfathah Al Ghifari supaya memimpin dan mengendalikan urusan negara Madinah sepeninggalan baginda.

Dalam perjalanan ke Daumatul Jandal itu, baginda masih menggunakan taktik biasa iaitu berjalan waktu malam dan pada siangnya mereka berehat dan bersembunyi di lereng-lereng bukit dan gunung.

Tujuannya supaya pihak musuh tidak menyedari kedatangan tentera Islam itu. Akhirnya berita kehadiran tentera Islam itu sampai juga ke pengetahuan penduduk Kota tersebut.

Mereka sangat terkejut dan tidak menyangka niat buruk mereka akhirnya berjaya dicium oleh Rasulullah SAW. Lebih teruk lagi tentera Islam kini telah berada hampir dan menunggu masa sahaja untuk menyerang.

Tanpa mempunyai banyak pilihan, penduduk kota tersebut bertempiaran melarikan diri dengan meninggalkan harta benda termasuk haiwan ternakan.

Mereka berjaya melarikan diri walaupun tentera Islam mencari ke merata tempat, tempat-tempat persembunyian mereka namun seorang pun tidak ditemui.

Ini memberi peluang kepada baginda merampas keseluruhan harta benda yang termasuk dalam kategori fai' itu sebelum tentera Islam pulang semula ke Madinah setelah berada beberapa hari di Kota Daumatul Jandal.

Dikatakan setiap anggota tentera Islam mendapat seekor unta sebagai habuan daripada rampasan fai' itu.

Walaupun tidak berlaku sebarang pertempuran dengan pihak musuh namun peristiwa ini tetap disebut sebagai perang.

Melalui tindakan-tindakan yang pantas dan tegas seperti ini, baginda berjaya meluaskan pengaruh dan memelihara Madinah dari sebarang cubaan untuk menyerang oleh pihak-pihak musuh.

Begitupun musuh tetap musuh! Mereka tetap menyimpan niat buruk dan berusaha menghancurkan Islam tanpa mengira sama ada mereka mampu atau tidak untuk berbuat demikian.

Maka ini tidak menghairankan jika dikatakan secara keseluruhannya, iaitu sepanjang usia baginda, Rasulullah terlibat dalam 27 peperangan.

Ini apabila lima bulan selepas berlaku Perang Daumatul Jandal itu, terjadi pula Perang Muraisi, iaitu apabila Puak Bani Musthaliq yang diketuai oleh Harits bin Dhirar hendak memerangi umat Islam di Madinah.

Namun kesudahannya sebagaimana yang sebelum-sebelum ini, baginda dan pasukannya bukan sahaja berjaya mengalahkan puak tersebut malah berjaya menawan 200 keluarga (700 lelaki dan perempuan termasuk puteri Harits yang bernama Barrah) merampas 2,000 unta dan 5,000 ekor kambing.

Namun kesan Perang Musthaliq ini menimbulkan perbuatan memfitnah! Tentu sahaja perbuatan fitnah iaitu merangkumi mengada-adakan cerita, memburuk-burukkan orang lain, memecah belahkan perpaduan, mengumpat, menghina dan sebagainya itu dilakukan oleh 'bapa munafik', Abdullah bin Ubay yang semakin hari semakin melampau dan menjadi duri dalam daging!

Abdullah menabur fitnah terhadap perpaduan dan persaudaraan yang sekian lama terjalin antara golongan Muhajirin dan Ansar.

Beliau juga dalam kisah selanjutnya melakukan fitnah yang paling jahat terhadap Rasulullah dan keluarga baginda, apabila isteri baginda, Siti Aisyah dituduh mempunyai hubungan haram dengan lelaki lain!

Tuesday, September 27, 2011

Semangat rakyat Palestin jadi azimat


Norazian Anidin (kiri) bersama-sama dua remaja Palestin ketika mereka bersiar-siar di pesisir pantai di Gaza.
__________________________________________________________

SELAMA tempoh di Gaza, saya asyik menangis sahaja, sampai bengkak-bengkak mata dibuatnya," kata Noorazian Anidin, salah seorang anggota sukarelawan yang menjayakan Misi A2G2.

Beliau adalah seorang daripada tiga wanita yang menganggotai misi tersebut.

Dua lagi rakannya ialah Noorhasyimah Ismail dan Siti Ramlah Ibrahim. Semua mereka adalah sukarelawan sepenuh masa dengan Aqsa Syarif Malaysia.

Beliau sebelum ini hanya sampai di sempadan Israel iaitu di selatan Beirut iaitu ketika mengikuti lawatan Viva Palestina International pada Julai 2010.

"Dahulu kita hanya dapat melihat tanah Palestin dari jauh. Saya berazam untuk ke sana walaupun bunyinya seperti mustahil dan hanya dapat melawat kem-kem pelarian Palestin termasuk Sabra Shatilla di selatan Lebanon itu.

"Apabila berpeluang ke Gaza, seolah-olah doa saya dimakbulkan Allah, sudah cukup membuatkan saya menangis gembira," katanya.

Walaupun menangis gembira tetapi beliau berjanji untuk tabah dan kuat sebaik sahaja memasuki Gaza, tidak mahu menangis di hadapan rakyat Palestin bagi menunjukkan kekuatan.

"Tetapi di pintu sempadan sahaja saya mula menahan sebak. Sebaik sahaja masuk ke Gaza, terus bercucuran air mata" katanya.

Bukan sahaja sedih melihat kemusnahan akibat perang, tetapi yang jelas Norazian merasakan dirinya kerdil berbanding rakyat Palestin yang begitu kuat dan tabah menghadapi kekejaman Israel.

"Mereka jauh sekali meminta-minta. Istilah pengemis yang seperti ditemui di sesetengah negara Islam yang kaya tidak ada di Gaza.

"Begitu juga dengan kanak-kanak. Mereka mengerumuni kita bukan untuk meminta-minta. Tetapi gembira dan mahu mengambil gambar bersama-sama walaupun mereka sebenarnya tidak berpeluang menyimpan sebarang gambar sebagai kenangan," katanya.

Namun Norazian, dia makin sebak melihat mereka yang miskin tidak mahu menerima bantuan selagi belum dipastikan tidak seorang pun golongan fakir ketinggalan menerima bantuan.

"Sumbangan yang diberikan melalui pek Ramadan antaranya mengandungi roti dari kilang yang kita bina hasil usahasama dan seekor ikan talapia dari kolam ternakan.

"Tetapi dengan seekor ikan itu mereka makan seisi keluarga," katanya.

Antara kenangan manis adalah dolat berjemaah yang diimamkan oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyah yang bersuara merdu dan mendayu.

Namun di akhir misi, Norazian terus terkedu dan air mata semakin mengalir laju apabila mendengar satu amanat seorang pejuang Palestin yang kudung kedua-dua belah kaki dan tangannya.

Kata pejuang itu: "Aku nak cakap sesuatu, aku lihat dua, tiga dari kalian yang sedang menangis!

"Kami sebenarnya tidak mahu air mata kamu tumpah di sini. Tetapi kita perlu sedar Zionis Israel adalah musuh kita bersama dan kami di sini akan terus berjuang untuk masjid kamu.

"Namun air mata kamu sebenarnya adalah pembakar semangat untuk kami terus berjuang dan sampaikan salam kami kepada saudara mara kami di Malaysia dan yakinlah terhadap perjuangan ini untuk kita sama-sama mempertahankan hak dan masjid yang sangat kita cintai."

Monday, April 11, 2011

Brugia malayi

Cacing filaria daripada spesies Brugia malayi juga sering ditemui di Malaysia. Cacing ini ditemui oleh Brug pada tahun 1927. Cacing daripada kelas nematod darah ini boleh menyebabkan penyakit Filariasis Malaya dan Elefantiasis. Walau bagaimanapun, parasit ini selalunya lebih dikaitkan dengan penyakit Elefantiasis.

Dari segi kawasan jangkitan, cacing Brugia malayi banyak terdapat di Asia seperti di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kampuchea, Laos, Jepun, India, Sri Lanka, Filipina, dan China Selatan.

Seperti cacing daripada spesies Wuchereria bancrofti, cacing ini juga merupakan parasit yang terdapat di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Bagi peringkat mikrofilaria pula, cacing ini menghuni saluran darah manusia.

Dari segi morfologi, cacing filaria pada peringkat mikrofilaria(peringkat diagnostik) memiliki nukleus kasar dan bertindih-tindih antara satu sama lain. Selalunya, cacing mikrofilaria berada di dalam sarung yang dicelup dengan warna merah jambu terang dalam pencelupan Giemsa.

Selalunya, jangkitan filaria dikesan pada pesakit dengan melalui penemuan mikrofilaria di dalam darah atau di dalam cecair tisu lain. Simptom penyakit filariasis seperti inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya dan lain-lain selalunya berlaku dengan cepat terutamanya pada kanak-kanak.

Wuchereria bancrofti

Cacing filaria daripada spesies Wuchereria bancrofti ini ditemui oleh Cobbold pada tahun 1887 dan merupakan cacing filaria utama yang menyebabkan penyakit Limfatik Filariasis di Malaysia. Jangkitan cacing Filaria Wuchereria bancrofti boleh menyebabkan penyakit Filariasis Bancrofti dan Elefantiasis.

Parasit ini terdapat di kawasan Asia iaitu di China, India, Jepun, Korea, Asia Tenggara, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Kepulauan Pasifik, Fiji, Samoa, New Guinea, Polynesia, Tahiti, dan Amerika Selatan. Walaupun pada masa sekarang, jangkitan cacing filaria ini semakin berkurangan, akan tetapi ia masih berpotensi untuk menyebabkan penyakit Filariasis di Malaysia.

Seperti cacing filaria yang lain, cacing dewasa W. bancrofti hidup di dalam kelenjar limfa dan saluran limfa manusia. Mikrofilaria yang bersarung terdapat di dalam darah. Dari segi morfologi, cacing dewasa betina berukuran 50 - 65 x 0.16 mm dengan ekor yang sedikit melengkung dan hujungnya tajam. Bagi cacing dewasa jantan pula, ia berukuran 23 - 40 x 0.1 mm. Ekornya melengkung dengan tajam dan mempunyai dua spikul.

Bagi peringkat mikrofilaria, cacing filari berukuran 275 - 300 x 8 - 10 mikrometer, bersarung dan memiliki lingkaran badan licin yang tidak berbelit-belit. Nukleus pada badannya kasar dan tidak bertindih, manakala bahagian posterior tidak mengandungi nukleus.

Kebanyakan kes jangkitan menyebabkan jangkitan filariasis yang teruk. Akan tetapi, filariasis boleh dikawal dengan merawat semua pembawa mikrofilaria di kawasan endemik dan mengawal nyamuk vektor.

Walaupun penyakit Elefantiasis sering dikaitkan dengan cacing daripada spesies Brugia malayi, tetapi cacing W. bancrofti masih boleh menyebabkan penyakit ini. Jangkitan limfatik filariasis akan menyebabkan inflamasi pada nodus limfa, demam, pening kepala, loya, limfadema, dan limfuria.

Sunday, April 10, 2011

Limfatik Filariasis di Malaysia

Pengenalan

Cacing Filaria merupakan parasit yang dikategorikan dalam kelas nematod darah. Terdapat berbagai-bagai jenis cacing filaria seperti Wuchereria bancrofti, Brugia malayi, Brugia timori, Loa loa, Onchocerca volvulus dan beberapa spesies yang lain. Walau bagaimanapun, hanya beberapa jenis cacing filaria hidup di dalam saluran limfatik. Cacing filaria yang hidup di dalam saluran limfatik manusia adalah seperti Wuchereri bancrofti, Brugia malayi, dan Brugia timori.

Jangkitan cacing filaria boleh menyebabkan penyakit filariasis. Di Malaysia, cecacing filaria yang selalu menyebabkan penyakit filariasis ialah Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi.Kedua-dua cacing filaria ini masih menjadi penyebab utama bagi penyakit filariasis dan elefantiasis di semenanjung Malaysia dan di kepulauan Borneo. Selalunya hanya cacing filaria dewasa akan menghuni saluran limfatik manusia yang dijangkitinya. Kehadiran cecacing ini hanya dapat dikesan pada peringkat mikrofilaria di mana cecacing pada peringkat ini akan berada di dalam saluran darah manusia.

Isi Kandungan

Di Malaysia, Limfatik filariasis masih berlaku terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak. Oleh itu, jangkitan parasit ini perlu dikawal melalui kaedah rawatan dan pencegahan yang sesuai oleh kakitangan hospital. Secara umum, cacing filaria dewasa daripada spesies Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi tinggal di dalam saluran limfatik manusia. Peringkat infektif bagi cacing filaria ini adalah pada larva peringkat ketiga. Larva filaria yang dihasilkan oleh cacing betina viviparous akan ditransmisikan kepada pesakit melalui luka akibat gigitan nyamuk.

Cacing filaria ini menjadi dewasa dan bersenyawa di dalam saluran limfatik manusia. Manakala peringkat diagnosis bagi filariasis adalah semasa cacing ini masih berada di peringkat mikrofilaria. Pada peringkat mikrofilaria, cacing ini terdapat di dalam saluran darah. Nyamuk daripada spesies Culex merupakan perumah perantara bagi cacing filaria ini. Di dalam kitaran hidupnya, cacing filaria akan menghuni dua perumah iaitu manusia dan vektor(nyamuk).

Larva cacing filaria peringkat pertama tidak matang dan mikrofilaria tinggal di dalam darah. Mikrofilaria yang telah tertanggal sarungnya, akan berkemban menjadi larva peringkat pertama, kedua, dan ketiga. Larva peringkat ketiga yang infektif akan dipindahkan kepada manusia.

Pendiagnosan Makmal Bagi Jangkitan Upper Respiratory Tract

Swab daripada bahagian saluran respiratori atas akan diambil oleh pegawai perubatan dan dihantar ke makmal patologi di dalam bekas yang sesuai seperti botol bijou. Juruteknologi makmal perubatan akan menjalankan ujian ke atas spesimen untuk mengesan pathogen yang berpotensi menyebabkan jangkitan. Bakteria yang menyebabkan jangkitan pada bahagian saluran resiratori atas adalah seperti :
-Staphylococcus aureus,
-Neisseria meningitidis,
-Streptococcal pyogenes,
-Corynebacterium diphtheriae.

Pengumpulan dan Penghantaran Spesimen:

Selalunya, spesimen perlu diambil oleh pegawai perubatan ataupun jururawat yang terlatih. Pesakit perlu duduk menghadap ke arah punca cahaya, manakala lidah perlu direndahkan dengan menggunakan kayu penekan lidah. Swab kapas yang sterile akan digunakan untuk mengambil spesimen pada bahagian tonsil, rongga farinks dan bahagian yang mengalami inflamasi. Selalunya dua sampel akan diambil pada bahagian yang sama. Spesimen pertama digunakan untuk penyediaan smear, manakala spesimen kedua akan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Jika spesimen tidak boleh diproses dalam masa 4 jam, sampel swab tersebut perlu diletakkan dalam medium pengangkutan(Amies/Stuart).

Pemerhatian Melalui Mikroskop:

Pencelupan Gram adalah sejenis pencelupan yang baik bagi pemerhatian melalui mikroskop. Bakteria-bakteria tertentu seperti kompleks fusospirochaetal dan Candida mudah dilihat melalui smear yang dicelup dengan pencelupan Gram. Akan tetapi, smear yang dicelup dengan pencelupan Gram tidak terlalu sesuai untuk pengesanan Streptococci dan Neisseria spp. secara spesifik kerana kebanyakan genus Streptococci dan Neisseria spp. memiliki bentuk yang hampir serupa. Tambahan pula, smear direk tidak sensitif dan spesifik bagi pengesanan bacilli diphtheria. Tanpa permintaan daripada pegawai perubatan, pencelupan Gram tidak perlu dilakukan untuk swab tekak.

Kultur dan Sensitiviti:

Selepas sampel diterima oleh pihak makmal, swab akan disapukan sedikit kepada permukaan plat agar darah(BA). Dengan menggunakan wire loop yang sterile, streak plat agar darah untuk membiakkan koloni bakeria. Agar darah tersebut perlu disediakan dengan menggunakan media basal agar tanpa glukosa ataupun mengandungi kandungan glukosa yang rendah seperti Tryptic Soy Agar(TSA).Proses pengasidan glukosa oleh Streptococcus pyogenes menghalang penghasilan haemolisin. Darah yang digunakan adalah pada kepekatan 5 peratus. Plat perlulah dipenuhkan sehingga mencapai kedalaman 4 hingga 5 mm. Darah beberapa jenis haiwan seperti kambing lebih sesuai digunakan kerana ia boleh mengesan haemolisis bagi beberapa jenis komensal Haemophilus spp.

Pengesanan bagi koloni bakteria Beta-Haemolitik boleh diperbaiki dengan meletakkan disk co-trimoxazole(seperti yang digunakan dalam ujian sensitiviti) dan disk bacitracin berkepekatan rendah di atas permukaan agar yang telah di streak. Selepas 18 hingga48 jam tempoh pengeraman pada suhu 35-37 darjah selsius, plat agar darah tadi boleh diperiksa untuk melihat jenis koloni yang tumbuh pada permukaannya.

Daripada plat aga darah tadi, koloni yang tumbuh boleh diambil untuk penyediaan smear. Smear yang telah disediakan akan dicelup dengan pencelupan Gram. Melalui pencelupan inilah bakteria yang dilihat akan dikelaskan kepada bakteria Gram positif atau bakteria Gram negatif cocci/rod.

Bagi proses pengkulturan untuk bakteria Corynebacterium diphtheriae, media tambahan akan digunakan. Walaupun bacilli diphtheria tumbuh dengan baik pada agar darah biasa, pertumbuhan bagi bakteria ini bleh diperbaiki dengan menggunakan dua media tambahan iaitu :
-Loffler coagulated serum atau Dorset egg medium.
-Media selektif Tellurite blood agar.

Laporan tidak rasmi bagi kehadiran Corynebacterium diphtheriae boleh diberikan pada peringkat ini. Akan tetapi, laporan ini perlu disahkan dengan melakukan ujian biokimia ringkas tertentu. Bakteria Corynebacterium diphtheriae memberikan keputusan catalase dan nitrate-positif. Urea tidak dihidrolisiskan oleh bakteria ini.

Ujian Sensitiviti:

Ujian sensitiviti rutin bagi bakteria pada tekak dan rongga farinks selalunya tidak diperlukan. Pathogen utama yang menyebabkan bacterial pharyngitis ialah Streptococcus pyogenes dan Corynebacterium diphtheriae. Antibiotik seperti benzylpenicillin dan erythromycin dipilih sebagai antimicrobials yang sesuai untuk merawat kedua-dua jangkitan bakteria ini. Dalam kes jangkitan diphtheria, rawatan dengan bahan antitoxin juga boleh digunakan.

Teknik Terkini Dalam Pendiagnosan Malaria

Pendahuluan

Malaria adalah penyakit yang berpunca daripada parasit darah. Penyakit ini boleh terdapat di banyak negara di serata pelusuk dunia. Setiap tahun, penyakit ini menyebabkan 3 juta kematian dan hampir 5 bilion kes dicatatkan di seluruh dunia.

Ujian diagnosis Malaria menggunakan kaedah pemeriksaan melalui mikroskop yang digunakan sejak sekian lama agak sukar dilakukan dan memerlukan ketepatan. Hanya staf yang berpengalaman sahaja boleh mendiagnosis kehadiran parasit Malaria.

Pendiagnosan parasit Malaria menggunakan kaedah lama memerlukan penyediaan filem darah tebal dan filem darah nipis. Pegawai perubatan juga perlu mahir dalam teknik dan kaedah penyediaan filem darah ini. Selain itu, proses mendiagnos kes malaria amat memerlukan staf makmal parasitologi yang berpengalaman. Walau dalam keadaan yang terbaik sekalipun, pemeriksaan mikroskop pada slaid filem darah adalah kurang daripada 100 peratus sensitif

BinaxNOW Malaria Test

Kit komersial BinaxNOW Malaria Test adalah kit ujian yang ringkas dan cepat bagi pendiagnosan parasit malaria menggunakan sampel darah pesakit. Kit komersial ini boleh mengesan jangkitan parasit malaria daripada spesiea Plasmodium falciparum(Pf) dan membezakannya daripada jangkitan parasit malaria daripada spesies lain yang kurang berbahaya.

Ujian menggunakan Kit BinaxNOW Malaria Test adalah berdasarkan prinsip ' in vitro immunochromatographic assay' bagi kaedah pengesanan kualitatif antigen Plasmodium yang beredar di dalam saluran darah manusia. Sampel darah pesakit yang dipungut dalam bekas EDTA juga boleh digunakan untuk ujian ini.

Ujian ini mengesan antigen spesifik bagi parasit Plasmodium falciparum iaitu Histidine-rich protein II(HRPII) dan juga antigen pan-malaria, yang terdapat di dalam kesemua empat spesies malaria yang mampu menjangkiti manusia - P. falciparum, P. vivax, P. ovale, P. malariae.

Ujian ini direka untuk membantu juruteknologi makmal perubatan di dalam pendianosan jangkitan parasit malaria. Keputusan ujian yang negatif perlulah disahkan dengan pemeriksaan mikroskop pada slaid filem darah tebal dan nipis yang diperolehi daripada pesakit.

Prinsip Bagi Pendiagnosan Parasit Malaria

Kit komersial BinaxNOW Malaria Test menggunakan prinsip 'Immunochromatographic Membrane Assay' yang menggunakan antibodi-antibodi monoklonal untuk mengesan antigen Plasmodium falciparum dan antigen pan-malaria yang terdapat di dalam spesimen darah pesakit.

Antibodi ini dan antibodi tambahan yang bertindak sebagai kontrol, akan dilekatkan pada permukaan membran yang berbentuk tiga jaluran kertas, digabungkan dengan pad spesimen. Kit yang direkabentuk seperti ini memudahkan pengesanan kehadiran antigen bagi parasit malaria. Strip ujian yang telah dilekatkan dengan antibodi tadi kemudiannya diletakkan di dalam alat yang berbentuk empat segi.

Untuk menjalankan ujian, sampel darah akan diletakkan di atas pad spesimen. Antigen malaria yang terdapat di dalam sampel pesakit akan bergabung dengan antibodi malaria konjugat yang terdapat pada kit ujian BinaxNOW Malaria. Kemudian, Reagen A akan ditambah pada bahagian bawah strip ujian untuk membantu sampel spesimen bergerak ke bahagian atas strip ujian.

Jika terdapat antigen yang spesifik dengan antibodi monoklonal pada strip ujian, antigen tadi akan bergabung dengan antibodi untuk membentuk kompleks antigen-antibodi. Seterusnya, jalur pada strip ujian akan menunjukkan keputusan yang positif.

Keputusan ujian yang positif dibaca dalam masa 15 minit, akan merangkumi petunjuk pada jalur ujian dan juga jalur kontrol pada strip ujian. Keputusan ujian yang negatif juga dibaca dalam masa 15 minit, tetapi strip ujian hanya akan menghasilkan bacaan positif pada jalur kontrol. Keputusan ini menunjukkan bahawa antigen malaria tidak dikesan di dalam sampel pesakit.

Reagen dan Bahan Yang Digunakan:

-BinaxNOW Malaria Test Kit:
*Alat Ujian - mengandungi strip ujian yang telah dilekatkan dengan antibodi spesifik bagi malaria.
*Reagen A - Larutan buffer yang mengandungi detergen dan sodium azide.
*Tiub Kapilari - Tiub kapilari EDTA yang digunakan untuk memindahkan sampel darah kepada strip ujian.

-Bahan-bahan lain yang dipelukan:
* Lancet, alcohol swab, swab sterile, jam ataupun 'stopwatch'.

Langkah Kewaspadaan:

1.Jangan mencampurkan komponen daripada kit komersial yang lain bersama-sama kit ini.
2.Kit ujian ini hanyalah untuk pendiagnosan secara in vitro.
3.Biarkan alat ujian ditutup dalam pek aluminium sebelum digunakan.
4.Jangan gunakan kit yang telah tamat tempoh penggunaannya.
5.Sampel daripada pesakit dan reagen A hendaklah dimasukkan mengikut prosedur ujian.
6.Jika sampel darah vena digunakan, sebatikan sampel terlebih dahulu sebelum digunakan.
7.Jika sampel darah diambil daripada cucukan jari, tiub kapilari boleh digunakan untuk memindahkan sampel kepada strip ujian.
8.Sampel pesakit perlulah dikendalikan secara berhati-hati.
9.Peredaran udara yang berlebihan boleh melambatkan pergerakan sampel melalui strip ujian. Semasa ujian, alat ujian hendaklah dilindungi daripada peredaran udara yang berlebihan.

Prosedur ujian:

1. Jika menggunakan sampel daripada tiub kapilari, titiskan sedikit sampel darah daripada tiub ke atas pad spesimen pada bahagian kanan alat ujian. Jika sampel yang digunakan diperolehi dalam tiub EDTA, pipetkan sampel darah ke atas pad spesimen sebanyak 15 mikroliter darah menggunakan mikropipet.
2. Tambahkan reagen A sebanyak dua titisan ke atas pad spesimen. Reagen ini berfungsi sebagai larutan buffer untuk menggerakkan sampel darah ke bahagian atas strip ujian.
3. Biarkan sampel darah tadi bergerak ke atas strip ujian dan memenuhi bahagian atas strip tersebut.
4.Setelah kesemua prosedur ujian dijalankan, tutup strip ujian dan biarkan selama 15 minit.
5. Baca keputusan ujian setelah 15 minit strip ujian ditutup. Keputusan yang diambil sebelum atau selepas 15 minit mungkin memberikan keputusan yang tidak tepat.

Had Penggunaan:

Keputusan ujian yang negatif tidak menunjukkan bahawa pesakit benar-benar bebas daripada dijangkiti parasit malaria. Berkemungkinan paras parasitemia pada pesakit masih berada pada tahap yang rendah. Jadi, keputusan yang diperolehi daripada ujian menggunakan kit BinaxNOW Malaria Test ini perlu digandingkan dengan penemuan-penemuan klinikal yang lain. Sampel ataupun spesimen yang lain boleh diambil dan diuji seperti yang dijalankan ke atas pemeriksaan mikroskopik secara bersiri.

Kit BinaxNOW Malaria Test mengesan antigen daripada parasit malaria, termasuklah pada peringkat gametosit bagi spesies Plasmodium falciparum. Ketepatan ujian bergantung kepada jumlah anigen di dalam spesimen dan mungkin tidak memberikan keputusan yang sama dengan pemeriksaan secara mikroskopik pada spesimen yang sama.

Tahap prestasi Kit BinaxNOW Malaria Test ini masih belum diuji bagi rawatan penyakit malaria. Saki-baki antigen Plasmodium mungkin dikesan selama beberapa hari walaupun parasit malaria telah dimusnahkan dalam rawatan anti malaria.

Sampel pesakit yang positif kepada Faktor Rheumatoid(Rf) mungkin memberikan keputusan positif palsu apabila menggunakan kit BinaxNOW Malaria Test. Faktor Rheumatoid adalah autoantibodi, dan titer Rf yang positif sering dikaitkan dengan kegagalan acute autoimmun, seperti rheumatoid arthritis, jangkitan virus yang kronik, dan jangkitan parasit. Sebagai tambahan, titer Rf yang positif dimiliki oleh 1 hingga 4 peratus populasi penduduk dunia. Seperti ujian pengesanan antigen bagi malaria yang lain, Kit BinaxNOW Malaria juga berkemungkinan menghasilkan keputusan positif palsu pada sampel individu yang memiliki titer Rf yang positif.

Ujian menggunakan kit ini tidak sesuai untuk tujuan penyaringan bagi jangkitan parasit malaria dalam sesuatu populasi.

Saturday, April 9, 2011

Agen Bakteria Yang Menyebabkan Jangkitan Upper Respiratory Tract

Streptococcus pyogenes(Lancefield Group A) adalah pathogen yang kerap menyebabkan pharyngitis dan tonsillitis. Jangkitan ini selalunya dikesan pada golongan kanak-kanak(5-12 tahun). Streptococcal pharyngitis dikaitkan dengan tanda-tanda ruam pada kulit, dan pesakit yang dijangkiti akan mengalami demam(scarlet fever). Pada bayi, jangkitan streptococcal pada tekak selalunya melibatkan nasofarinks dan diikuti dengan discaj pada rongga hidung yang banyak.

Beta haemolitik streptococci jarang menjadi penyebab kepada jangkitan saluran respiratori atas dan jika dikesan, juruteknologi makmal perubatan yang bertugas perlulah melaporkannya. Jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pyogenes jika tidak dirawat dengan sepatutnya, akan menyebabkan rheumatic fever dan glomerulonephritis.

Corynebacterium diphtheriae adalah penyebab kepada jangkitan diphtheria, iaitu sejenis penyakit yang endemik dalam banyak negara. Diphtheria adalah penyakit yang serius dan diagnosis dilakukan berasaskan penemuan klinikal yang dibuat oleh pegawai perubatan.

Gonococcal pharyngitis pula semakin dikenali disebabkan kadar kes jangkitan ini yang semakin meningkat di beberapa negara. Jangkitan saluran pernafasan atas yang dikaitkan dengan bakteria Gonococcal ini juga hampir menyamai jumlah kes jangkitan gonorrhoea pada bahagian serviks dan urethra. Kultur swab tekak untuk mengenalpasti jangkitan gonococci perlu dilakukan apabila diminta oleh pegawai perubatan menggunakan media selektif yang bersesuaian seperti media Thayer-Martin(Modified).

Walaupun jumlah Candida albicans atau spesies Candida lain yang sedikit pada bahagian ini mungkin hanyalah sebahagian daripada normal flora, peningkatan jumlah bakteria ini boleh menyebabkan oral candidiasis. Kawasan yang dijangkiti adalah pada bahagian lidah, tonsil, tekak dan buccal mukosa.

Normal Flora di Bahagian Upper Respiratory Tract

Bakteria yang dikategorikan sebagai normal flora di bahagian farinks merangkumi jumlah spesies yang banyak. Akan tetapi, bakteria ini tidak perlulah dilaporkan semasa pemeriksaan pada kultur tekak. Antara normal flora yang terdapat di bahagian saluran respiratori atas adalah:
-viridans(alfa-haemolitik) streptococci dan pneumococci.
-Neisseria spp. yang bukan patogenik.
-Staphylococci (S. aureus, S, epidermidis).
-Moraxella (Branhamella) catarrhalis.
-Diphtheroids (tidak termasuk C. diphtheriae).
-Haemophilus spp.
-Yeast (Candida spp.) dalam bilangan yang sedikit.
-Beberapa anaerobik Gram-Positif cocci dan Gram-Negatif rod yang lain.

Bahagian tekak orang-orang tua, immunodeficient, ataupun pesakit yang tidak mendapat zat makanan secukupnya boleh dijangkiti oleh Enterobacteriaceae seperti Escherichia coli, Klebsiella spp. dan enterobacter serta kumpulan non-fermentative Gram Negatif(Acinetobacter spp. dan Pseudomonas spp.)

Golongan-golongan di atas juga boleh dijangkiti Staphylococcus aureus dan Candida spp. Walaupun mikroorganisma ini kesemuanya tidak menyebabkan pharyngitis dan hanya dikaitkan dengan granulocytopenia, juruteknologi makmal perubatan adalah dinasihatkan untuk melaporkan penemuan tersebut kepada pegawai perubatan.

Bilangan normal flora dalam jumlah yang banyak pada golongan ini perlu diawasi kerana ia boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian saluran respiratori bawah(lower respiratory tract).

Pendiagnosan Makmal Upper Respiratory Tract Infection

Pengenalan

Kawasan saluran respiratori atas bermula daripada bahagian larinks sehingga ke ruang rongga hidung dan merangkumi orofarinks, nasofarinks, bersama-sama rongga kaviti berdekatan, sinus dan bahagian tengah telinga. Kawasan respiratori atas boleh dijangkiti oleh beberapa jenis jangkitan bakteria seperti :
-Pharyngitis,
-tonsilitis, dan kerengsaan pada bahagian tekak.
-Nasopharyngitis,
-Otitis media,
-Sinusitis,
-Epiglottitis.

Secara keseluruhan, pharyngitis adalah jenis jangkitan yang paling kerap berlaku. Sebagai tambahan, jangkitan yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah yang lebih serius. Dalam kes jangkitan pharyngitis, 20 peratus daripadanya disebabkan oleh bakteria dan selalunya memerlukan rawatan dengan antibiotik yang bersesuaian.

Diagnosis bagi kes jangkitan pharyngitis adalah rumit disebabkan bahagian orofarinks selalunya mengandungi bakteria normal flora aerobik dan anaerobik yang bercampur(mixed) dalam kadar yang banyak.

Normal flora selalunya memiliki jumlah yang jauh lebih banyak berbanding bakteria yang bersifat pathogens dan tugas juruteknologi makmal perubatan di sini adalah untuk membezakan di antara bakteria yang bersifat komensals dan pathogens.